pendidikan

Sabtu, 23 April 2011

kata-kata bijak"Pahala besar beri nafkah kepada ibu"

Pahala besar beri nafkah kepada ibu

Hak Muslim Oleh Musa Awang

Anak bertanggungjawab bantu setakat mampu selagi tak bebankan keluarga

SAYA sudah berumah tangga dan mempunyai pekerjaan tetap tetapi pendapatan saya kini tidak cukup untuk menyara keluarga saya memandangkan suami saya baru saja diberhentikan kerja. Oleh itu, segala urusan perbelanjaan rumah dan harian kini bergantung kepada pendapatan saya yang tidak seberapa. Pada masa yang sama saya masih mempunyai seorang ibu yang tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Adik saya ada memberi sumbangan kepada ibu secara tetap setiap bulan. Sebelum saya berkahwin dan selepas kahwin saya masih menjalankan tanggungjawab memberi perbelanjaan kepada ibu. Namun sejak tiga bulan ini, saya gagal memberi sebarang sumbangan kewangan kepada ibu berikutan kesempitan hidup yang terpaksa saya lalui. Ibu menggunakan kesempatan ini untuk memburukkan keadaan dan menuduh saya sebagai anak yang tidak mengenang budi dan anak derhaka. Keadaan ini memberi tekanan kepada saya menyebabkan jiwa saya tidak tenteram. Adakah menjadi satu dosa jika saya tidak memberi sebarang perbelanjaan kepada ibu? Apakah peranan dan tanggungjawab sebenar seorang anak perempuan sebelum dan selepas berumah tangga? Benarkah jika suami saya tidak mengizinkan saya memberi sebarang perbelanjaan kepada ibu, saya harus mematuhinya?

Anak Keliru

Untuk menjawab soalan puan, lebih elok saya kupas dengan lebih lanjut apakah definisi dan takrifan nafkah menurut perspektif hukum syarak. Asal makna nafkah ialah mengeluarkan atau menghabiskan. Nafkah menurut istilah syarak ialah semua perkara yang diperlukan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.

Ada lima jenis nafkah, iaitu nafkah manusia kepada dirinya sendiri, nafkah usul (ayah atau datuk) kepada furu' (anak atau cucu), nafkah furu' kepada usul, nafkah suami kepada isteri dan nafkah lain.

Nafkah kepada diri sendiri, maksudnya ialah perbelanjaan untuk diri sendiri. Ia perlu didahulukan daripada yang lain. Nafkah ini meliputi semua perkara asas diperlukan oleh seseorang manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mulakan dengan nafkah terhadap dirimu.”

Nafkah usul (ayah atau datuk) kepada furu' (anak atau cucu) iaitu bapa atau datuk (usul keturunan) berkewajipan memberi nafkah kepada anaknya dan cucu hingga ke bawah (furu' keturunan). Bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya yang sah menurut syarak, tiada beza baik anak lelaki atau anak perempuan.

Jika anak tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib memberi nafkah kepada cucunya. Ini difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Talak ayat 6 yang bermaksud: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 233, anak disandarkan secara khusus kepada bapanya, yang memberi maksud bahawa bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak. Demikian juga cucu termasuk dalam hukum ini kerana persamaan atau 'illah di antara anak dan cucu ialah dari segi hubungan nasab (keturunan).

Islam menggariskan syarat usul diwajibkan memberi nafkah kepada furu', iaitu usul mempunyai makanan yang melebihi keperluan dirinya dan isteri untuk tempoh sehari semalam. Jika makanan yang dimiliki hanya cukup digunakan dalam tempoh itu untuk dirinya atau untuk diri dan isterinya, dia tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada furu'nya.

Furu hendaklah terdiri daripada kalangan orang fakir, dan juga masih kecil atau sakit yang berpanjangan atau gila.

Nafkah furu' kepada usul - seperti dalil dan syarat yang dijelaskan, furu' juga wajib memberikan nafkah kepada usul iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah Lokman ayat 15 yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan baik.” Dalam surah yang lain, surah Al-Isra' ayat 23, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhan telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayahmu, sesungguhnya anak kamu adalah sebaik-baik hasil usaha kamu. Oleh itu makanlah (harta) hasil usaha anak kamu.”

Tariq al-Muharibi r a berkata: “Aku sampai di Madinah ketika itu Rasulullah SAW sedang berdiri di atas mimbar berkhutbah kepada orang ramai. Baginda berkata: “Tangan yang memberi ialah tangan yang di atas. Mulakanlah dengan tanggunganmu; emak kamu, bapa kamu, adik beradik perempuan dan adik beradik lelaki kamu, kemudian orang yang paling dekat dan paling dekat.”

Nafkah daripada furu' kepada usul juga mempunyai syarat, iaitu anak (furu') mempunyai lebihan nafkah untuk keperluan dirinya dan isterinya. Jika furu' juga seorang yang fakir, dia tidak dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada bapa dan ibunya.

Usul terdiri daripada kalangan orang fakir, iaitu tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan, atau tua dan uzur.

Ibu tidak mendapat nafkah secukupnya daripada suami. Maksudnya seseorang anak wajib memberi nafkah kepada ibunya dalam keadaan di mana ibu itu tidak mendapat nafkah secukupnya daripada suaminya (bapa) atau jika bapa telah meninggal dunia. Jika ibu mendapat nafkah secukupnya daripada bapa atau jika ibu yang kematian suami (bapa) tetapi kemudian berkahwin semula dengan lelaki lain, maka anak tidak wajib memberikan nafkah kepada ibunya.

Bagaimanapun, jika anak ingin memberikan juga nafkah kepada ibunya, ia bukanlah suatu dosa, malah suatu amalan mulia yang mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Nafkah suami kepada isteri - ulama bersepakat bahawa suami wajib memberikan nafkah kepada isterinya, dengan syarat isteri menyerahkan dirinya kepada suami, menurut kehendak hukum syarak. Isteri perlu mengikut suami tinggal di tempat atau di rumah yang disediakan oleh suaminya, melainkan tempat itu tidak sesuai untuk didiami menurut hukum syarak.

Jika semua syarat ini dipenuhi, suami wajib memberikan semua nafkah yang diperlukan oleh isteri. Puan boleh merujuk mengenai perkara ini dalam soalan Hak Muslim yang pernah disiarkan sebelum ini.

Berbalik kepada soalan puan, jika keadaan ibu memenuhi syarat yang dinyatakan di atas, dan jika tiada saudara mara lain yang membantu itu, adalah menjadi kewajipan puan untuk memberi nafkah kepada ibu setakat munasabah. Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk menyara keluarga puan dan anak bukan tugas dan tanggungjawab puan tetapi ia adalah adalah kewajipan suami.

Ibu puan juga seharusnya menggunakan budi bicara yang baik kerana puan memberinya sekian lama dan dalam keadaan terdesak, dia seharusnya memahami dan tidak menuduh dengan kata derhaka terhadap anak sendiri. Ibu seharusnya mendoakan agar anak dimurahkan rezeki dan dapat memberi sumbangan kepadanya dengan lebih baik.

Mengenai keperluan mendapat keizinan suami, saya tidak berjumpa sebarang nas al-Quran atau al-Hadis yang melarang isteri memberi nafkah kepada ibu jika suami tidak mengizinkan.

Puan yang bekerja dan wang pendapatan adalah hak mutlak puan sebenarnya, maka terserah kepada puan bagaimana cara untuk menggunakannya dan beberapa jumlah wang yang ingin diberi kepada ibu puan.

Tetapi dari segi menjaga keharmonian rumah tangga, seharusnya suami isteri bersikap telus, saling berbincang terutama membabitkan kewangan dan sama-sama berusaha menghargai ibu dan mentua dengan baik. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar